Bismillahir Rahmanir Rahim, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Yang Berhormat Dato' Jacob Dungau Sagan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Yang Berhormat Dato' Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Tuan Yang Terutama Duta-Duta, Yang Berhormat Exco-Exco Kerajaan Negeri, Tan Sri-Tan Sri, Dato'-Dato', Datin-Datin, Dif-Dif Jemputan, Tuan/Puan dan para hadirin yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Pertama sekali marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin-Nya kita dapat berkumpul dalam Majlis Perasmian Produk Chocolata De’ Clouds yang merupakan keluaran produk baru kami dan yang juga produk yang kesebelas bagi Syarikat Onecloud Sendirian Berhad.
2. Bagi pihak Syarikat Onecloud Sendirian Berhad, selaku Pegawai Kanan Unit Strategi, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kita yang membuktikan komitmen serta keprihatinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri terhadap pembangunan keusahawanan negara. Sesungguhnya, kami merasa bangga atas kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri.
3. Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato' Jacob Dungau Sagan dan Yang Berhormat Dato' Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di atas sokongan Yang Amat Berhormat berdua bagi mejayakan Majlis Perasmian Chocolata De’ Clouds.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para hadirin sekalian,
4. Untuk pengetahuan, Syarikat Onecloud Sendirian Berhad ini ditubuhkan pada tahun 2007 dimana ekonomi negara pada masa itu adalah didalam keadaan yang stabil dan memberangsangkan. Pada permulaan, syarikat ini hanya beroperasi didalam negeri sahaja, dimana hanya tiga produk sahaja dihasilkan. hari demi hari berlalu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, syarikat ini mula mengembangkan pasarannya ke luar negeri dan akhirnya menjadi satu syarikat yang gah di Malaysia! Kini, terdapat 221 pengedar bagi produk yang dikeluarkan oleh syarikat ini di dalam negara kita, Malaysia. Pada tahun 2012 yang akan datang, Insyaallah syarikat kami ini akan mula mengeksport produk kami ke negara luar seperti Perancis, Australia, Singapura dan Brunei.
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,
5. Seperti yang umum ketahui, coklat merupakan makanan yang menjadi kegemaran bagi semua peringkat umur dan bangsa, tidak kira tua atau muda, Melayu, Cina atau India, miskin atau kaya. Namun, adakah coklat yang anda makan itu memberi faedah kepada kesihatan anda? Tahukah anda tentang bahan-bahan yang digunakan di dalam coklat yang anda makan?
6. Dengan inisiatif untuk menjadikan coklat sebagai salah satu makanan bagi diet seimbang, syarikat kami telah menghasilkan produk baru yang diberi nama Chocolata De’ Clouds yang telah diuji keberkesanannya dalam pemakanan diet seimbang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jadi, anda tidak perlu lagi risau tentang kuantiti pengambilan makanan ini kerana ia akan sentiasa memastikan kadar metabolisma badan anda dalam keadaan yang seimbang dan stabil, tanpa menjejaskan kesihatan badan mahupun menambahkan kuantiti kolestrol dalam badan anda. Bukan itu sahaja, coklat ini juga mampu melancarkan pengaliran darah dalam badan anda.
Hadirin dan hadirat yang saya sanjungi,
7. Selain itu, coklat ini juga amat sesuai bagi golongan remaja yang aktif menjalani kehidupan seharian seperti para pelajar sekolah mahupun mahasiswa / mahasiswi di universiti. Seperti yang kita sedia maklum, pengambilan sarapan adalah penting bagi setiap permulaan hari. Jadi, bagi para pelajar dan mahasiswa yang mungkin tidak berkesempatan untuk mengambil sarapanketika dirumah mahupun asrama bolehlah mengambil coklat ini sebagai sarapan pagi kerana kandungan karbohidrat yang terdapat di dalam produk ini cukup untuk mengekalkan kecergasan serta kecerdasan anda hingga ke waktu anda mengambil makanan tengah hari.
8. Saya pasti, ramai yang berfikiran bahawa produk ini merupakan produk yang mahal kerana kelebihan-kelebihan yang ia miliki. Namun, tanggapan itu salah sama sekali kerana produk ini adalah produk yang mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Syarikat kami telah mengkaji sedalam-dalamnya tentang produk ini agar semua orang mampu untuk menjaga kesihatan melalui pemakanan produk ini kerana bagi kami, kesihatan pelanggan kami merupakan yang utama.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
9. Akhir kata, selaku pegawai yang bertanggungjawab bagi Unit Strategi Syarikat Onecloud Sendirian Berhad, saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana sudi hadir serta sudi merasmikan pelancaran produk yang bakal jagi kebanggaan syarikat kami ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Jacob Dungau Sagan dan Yang Berhormat Dato' Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ucapan terima kasih juga kepada pihak media yang memberikan sokongan dan publisiti kepada penganjuran Majlis Perasmian Chocolata De’ Clouds ini. Seterusnya, terima kasih juga kepada Tuan Yang Terutama Duta-Duta, Yang Berhormat Exco-Exco Kerajaan Negeri, Tan Sri-Tan Sri, Dato'-Dato', Datin-Datin, Dif-Dif Jemputan, Tuan/Puan dan para hadirin yang dihormati sekalian atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan majlis ini.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.